K A W A N

Tuesday, January 4, 2011

Gembirakan Mereka | Part 3

Al-salāmu 'alaykum
"Selamat sejahtera ke atas kamu semua"

Setelah lama tak mengemaskini entri Gembirakan Mereka ni, hari ini saya akan updatekan entri ini ke bahagian yang ke-3 pula. Anda boleh mengikuti semula entri Gembirakan Mereka di bahagian 1 dan 2 dengan hanya klik pada tajuk besar entri ini (Gembirakan Mereka | Part 3) di bahagian atas.

Untuk entri kali ini, saya akan mempaparkan gambar-gambar sebelum kami semua meninggalkan anak-anak yatim di Darul Bakti ini. Meninggalkan mereka dengan penuh rasa sedih dan simpati ke atas nasib mereka dan kami berjanji akan terus mengadakan program lawatan seperti ini lagi di masa yang akan datang Insha Allah. Segala peristiwa pahit manis yang kami tempuhi sewaktu mengendalikan dan seterusnya menjayakan program ini akan kami jadikan pengalaman yang tidak akan kami lupakan sampai bila-bila. 

©2011 Darul Bakti | Hamper diserahkan kepada pemenang akitviti yang dijalankan
©2011 Darul Bakti | Adik-adik Darul Bakti bergambar kenangan dengan hamper mereka
©2011 Darul Bakti | Para peserta dan adik-adik mereka
©2011 Darul Bakti | Para urusetia dan para peserta program
Terima kasih kepada rakan-rakan JPP semua yang telah memberikan sepenuh komitmen dalam menjayakan program ini. Bermula daripada idea yang hanya dicakap-cakap kosong kemudian dibincangkan secara berkumpulan. Setiap orang memberikan idea serta pendapat masing-masing, idea-idea serta pendapat itu diolah, diperbaiki, diteliti, dimantapkan dan seterusnya dicoretkan pada helaian kertas kerja. Akhirnya selepas ditempuhi bermacam dugaan dan rintangan maka berjayalah sudah program Lawatan ke Rumah Anak-Anak Yatim dan Berkeperluan, Darul Bakti ini.


Kepada para peserta yang secara sukarela mengikuti program ini, ribuan terima kasih di atas komitmen anda semua walaupun terpaksa mengorbankan hari cuti anda demi menjayakan program amal ini. Tiada apa yang mampu kami berikan melainkan pengalaman yang begitu berharga di sepanjang program ini berjalan. Walaupun pihak kami ada menyediakan sijil tapi kami yakin sijil itu tidak setanding dengan pengalaman yang anda semua perolehi sewaktu bersama-sama kami menjayakan program ini. Jadikanlah semua ini kenangan yang terindah buat semua, ingatlah ketika kita semua menangis bersama dengan adik-adik ini menyanyikan lagu 'Kenangan Terindah'. Kenangan yang terlalu indah untuk kita dan mereka lupakan.

©2011 Darul Bakti | Seorang peserta tidak dapat mengawal emosi sedihnya sewaktu bersalaman tanda perpisahan dengan adik-adik di Darul Bakti
Tidak dilupakan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini. Jutaan terima kasih kepada pihak Pengarah PKK kerana meluluskan kertas kerja kami dan memberikan peruntukan yang secukupnya untuk kami menjayakan program amal ini. Juga kepada Penasihat-penasihat JPP yang tidak putus-putus memberikan sokongan serta teguran kepada kami untuk menjayakan program ini. Tidak lupa kepada syarikat-syarikat dan individu-individu yang ada menyokong kami sama ada dari segi kewangan mahupun dari segi sokongan moral. Terima kasih semua. 

©2011 Darul Bakti | Gambar kenangan bersama adik-adik di Darul Bakti

p/s: Akhirnya selesai sudah entri untuk Darul Bakti ini, banyak lagi yang nak dikongsikan tapi bagaikan tiada kesudahan keseronokan serta keterujaan saya untuk berkongsi pengalaman ini. Banyak juga perkara yang begitu seronok dan berhargai yang tidak dapat saya gantikan dengan kata-kata. Semoga program ini mendapat keredhaan serta rahmat dari yang Maha Pengasih dan Penyayang. Buat junior-junior ku teruskan dan perbanyakkan program sebegini Ok.

Untuk entri sebelum ini klik sini:

Monday, January 3, 2011

Sekolah itu..

Al-salāmu 'alaykum
"Selamat sejahtera ke atas kamu semua"

Pagi yang indah, udara yang segar dan bayu pagi yang bertiup aman sekali dirasakan. Aku bangun seawal jam 6 pagi hari ini, selesai mandi aku segera menunaikan solat subuh dan kemudian bersiap untuk ke pejabat di hari pertama bekerja di tahun 2011 ini. 

Aku mengenakan baju putih berjalur merah hari ini, dengan semangat waja dan niat yang ikhlas mencari rezeki Allah. Selepas mengunci grill dan membaca Surah Al-Ikhlas dengan berserah dan percaya kepada Allah agar keselamatan rumah terjaga dari sebarang bentuk khianat. Aku melangkah keluar dengan penuh yakin dan tenang tepat pukul 7.15 pagi.

Eh, kenapa jalan sesak ni? Kenapa ramai orang kat bus stop ni? Eh, dah ada warden trafik sekolah jaga lalu lintas? Oh baru teringat, hari ini dah bermula sesi persekolahan bagi tahun 2011 dan hari ini juga merupakan hari untuk ibubapa mendaftarkan anak-anak kecil mereka di Tahun 1 patutlah jalan sesak, patutlah ramai orang, patutlah ada warden trafik. 

Teringat kembali di waktu kecil ku, ketika belum berada di Tahun 1 aku sudah biasa ke sekolah dan aku memang suka ke sekolah. Kenapa? Sebab aku suka menemani abangku ke sekolah dan Akan aku temani abangku sampai ke pintu kelasnya. Kemudian akan ku intai abangku dan aku ikut dia belajar dari tingkap kelasnya sebab aku tahu aku tak boleh duduk bersama-sama dia di dalam kelas. 


©2011 EB | Sekolah Kebangsaan Pekan Telipok, Tuaran
Ada seorang cikgu pernah cakap dengan aku "Adik tak boleh masuk kelas lagi, adik tak cukup umur lagi. Adik kena pergi Tadika dahulu ok.." Untuk pengetahuan semua, aku tak pernah masuk Tadika dan aku tak suka Tadika. Ingat lagi bila mama kata nak hantar aku pergi Tadika, aku menolak semahu-mahunya. Aku cakap kata mama, "Mama, EB tak mahu pergi Tadika. Cikgu Tadika semua garang-garang, cikgu Tadika makan budak. EB tak mahu masuk Tadika, EB mahu ikut abang minor pergi sekolah.." Sampai macam tu sekali aku tak nak pergi tadika tau. Tapi aku lagi dulu pandai membaca dan mengeja daripada budak-budak yang belajar di Tadika. Hahaha.. jangan marah.

Selain itu, kedudukan rumah kami cuma beberapa meter sahaja daripada sekolah menyebabkan aku tak perlu naik bas, tak perlu naik kereta, tak perlu nak motor dan tak perlu naik basikal. Cukup dengan hanya berjalan kaki sahaja. Kenapa? Kerana bapa ku merupakan seorang cikgu dan kami sekeluarga tinggal di kuartes guru ketika itu BUKAN sebab bapa aku buat rumah kat depan sekolah tau.

Sekolah itulah yang menjadi tempat aku membesar, sekolah itulah taman permainan bagi kami adik beradik, sekolah itulah tempat aku menuntut ilmu, sekolah itu sumber rezeki kepada keluarga kami, sekolah itulah tempat kami berlindung ketika Sabah dilanda ribut Greg suatu ketika dahulu, sekolah itulah menyimpan beribu macam kenangan yang tak mungkin aku lupakan sampai bila-bila. Sekolah itu adalah segala-galanya buat diri aku.

Buat adik-adik yang mula bersekolah, selamat bersekolah diucapkan. Buat cikgu-cikgu yang mula mengajar, selamat mengajar dengan penuh dedikasi diucapkan. Buat ibubapa yang bersusah payah menghantar dan mendaftarkan anak-anak kecil mereka, ketahuilah semua itu adalah apa yang orang tua kita lalui dahulu dan sekarang ini giliran kamu pula. Buat mereka yang berkerja, selamat berkerja dan tidak lupa untuk saya ingatkan untuk berkerja dengan ikhlas dan jujur. Jangan main MukaBuku je tau.. hehehe.. 

Wassalam..


p/s: Aku lupa dompet aku.. Aku lapar tak boleh nak beli makanan.. Ada sesiapa yang sudi nak belanja?


Saturday, January 1, 2011

Portraiture | Aminor Junaidi

©2011 EB | Don't break my heart!
©2011 EB | Sediakan payung sebelum Sunburn

Talent : Aminor Junaidi (My brother ~ model tetap dan tidak berpencen)



p/s: Layan dulu gambar ini nanti saya update gambar dan cerita selanjutnya.. Man United game against West Bromwich is more important for me.. Hehehe.. See you later guys..

West Bromwich Albion (WBA) vs Manchester United (MU)

West Bromwich Albion vs Manchester United
The Hawthorns
8.45PM


West Bromwich Albion

WBA Logo
WBA Mascot
Manager - Roberto Di Matteo
WBA Away Jersey
WBA Home Jersey


Manchester United

Man United Logo

The Reds Devil Mascot
Man United Manager - Sir Alex Ferguson
Man United Home Jersey
Man United Away Jersey

Ikatan Suci di Depoh Tahanan

Al-salāmu 'alaykum
"Selamat sejahtera ke atas kamu semua"

Hai pagi ini, eh tengahari ini saya ingin berkongsi sebuah keratan akhbar mengenai hubungan cinta yang terjalin antara si lelaki dan si wanita yang akhirnya berakhir dengan ikatan perkahwinan yang suci murni. Tapi ada uniknya mengenai perkahwinan ini, nak tahu apa? Silalah baca keratan akhbar Harian Metro dibawah ini.

ALOR GAJAH: Biarpun bakal isterinya ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo di sini, ia tidak menjadi penghalang buat seorang pengusaha restoran apabila nekad menikahi pasangannya dalam majlis sederhana di Surau Al-Taiyibah di pusat tahanan itu, semalam.


Ibarat cinta tidak mengenal sempadan, Muhammad Nurhisham Gan Abdullah, 53, duda anak satu dengan sekali lafaz selamat diijabkabulkan dengan janda anak satu, Siti Jawari, 39, yang berasal dari Surabaya, Jawa Timur, Indonesia kira-kira jam 11.50 pagi dengan mas kahwin RM40.

Pasangan itu dinikahkan Pendaftar Nikah Cerai Negeri Melaka, Abdul Halim Tawil, 43, dengan kehadiran kira-kira 50 kakitangan Jabatan Imigresen diketuai Komanden pusat tahanan itu, Abu Bakar Sidek Hasan termasuk ibu dan adik perempuan pengantin lelaki.

Muhammad Nurhisham dari Jalan Bendahara, Bandar Hilir, yang mengusahakan restoran di Jalan Hang Tuah berkata, dia berkenalan dengan isterinya itu selama dua tahun sebelum merancang berkahwin pada hari ini (semalam), tetapi tempat pernikahan terpaksa diubah apabila isterinya itu ditahan imigresen 22 Disember lalu.

Menurutnya, pengalaman melangsungkan majlis pernikahan di depot tahanan adalah sesuatu yang tidak dijangka, asalkan menepati ajaran Islam.

“Alhamdullillah, akhirnya semua dapat diselesaikan hari ini (semalam). Kami tidak mahu menunggu lama sebab itu majlis pernikahan ini diadakan juga walaupun di dalam depoh.

“Kami hanya mampu merancang, tetapi Allah s.w.t. menentukan dan saya berharap selepas ini apabila isteri dibebaskan, dia akan menetap di negara ini bersama saya dan anak perempuannya (daripada perkahwinan terdahulu).

“Pada mulanya saya amat risau dengan perkahwinan kami mungkin akan tertangguh, namun saya berjumpa dengan pegawai imigresen di depoh berkenaan untuk memohon pernikahan dijalankan dan mereka bersetuju memberi kebenaran,” katanya.

Siti pula berkata, hatinya gembira bercampur sedih kerana tidak menduga akan melangsungkan pernikahan di depoh tahanan bersama suaminya.

“Saya datang semula ke Malaysia pada 6 November lalu bagi menguruskan majlis pernikahan, sebelum itu ditahan pihak imigresen di sebuah pusat beli-belah kerana disyaki bekerja tanpa permit di negara ini.

“Bagaimanapun, saya tetap gembira dan mungkin ada hikmah. Kami ucapkan terima kasih kepada imigresen terutama Abu Bakar kerana membenarkan melangsungkan majlis pernikahan yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat,” katanya yang mempunyai anak lelaki berusia 24 tahun, hasil perkahwinan pertama di Indonesia.

Sebaik selesai majlis, Muhammad Nurhisham terpaksa meninggalkan isterinya di depoh itu untuk sementara kesnya selesai.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, upacara pernikahan itu adalah yang pertama kali diadakan di pusat tahanan berkenaan.

“Pernikahan ini dilangsungkan atas dasar kebajikan terhadap tahanan kerana mereka juga adalah manusia dan perlu dilayan dengan baik.

“Selain itu, kami juga mengadakan majlis kenduri secara bergotong-royong dan saya mendoakan pasangan ini akan kekal bahagia hingga ke akhir hayat,” katanya.


p/s: Macam ni pun ada juga ek? Hehehe.. apa-apa pun kita doakan yang terbaik buat mereka. Sah! cinta itu buta..

Selamat Datang 2011 | Selamat Tinggal 2010


Al-salāmu 'alaykum
"Selamat sejahtera ke atas kamu semua"

Hai semua, ini merupakan entri pertama saya di tahun baru 01 Januari 2011 (01/01/2011) bersamaan dengan hari Sabtu. Entri di awal tahun ini adalah mengenai azam serta harapan yang diri saya sebagai orang yang bertanggungjawab menaip entri ini.


©2011| EB™~ Si Penulis Blog

Sebelum bercerita mengenai azam dan harapan si penulis ini, saya terlebih dahulu ingin mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2011 kepada semua yang menyambut peralihan tahun baru ini. Selain itu, saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI LAHIR dan tahniah kepada mereka yang baru sahaja dilahirkan pada hari ini dan tidak lupa kepada mereka yang menyambut ulang tahun kelahiran mereka pada hari ini 01 Januari 2011. Semoga dengan kedatangan tahun baru ini kita semua akan mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah swt.

Ok beralih kepada azam tahun baru 2011, saya berazam agar saya akan menjadi insan yang lebih baik dari sebelum ini, bukan bermaksud saya ini jahat tapi saya berazam agar saya menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Saya juga berazam untuk lebih menyayangi dan mencintai diri saya sendiri terlebih dahulu sebelum saya mencintai dan menyayangi orang lain. Selain itu, saya juga berazam agar dapat membantu keluarga saya mencapai kebahagian serta kesenangan hidup di dunia dan akhirat nanti. Saya juga berazam agar dapat saya mendalami lagi ilmu-ilmu photography dan videography dan seterusnya dapat membina sebuah studio bersama-sama dengan adik saya Adznor.

Harapan saya pula, agar saya dapat menamatkan zaman bujang saya ini secepat yang mungkin agar terhindarnya saya daripada sebarang bentuk maksiat dan dosa. Selain itu, saya berharap dapat membelikan/membina sebuah rumah yang besar dan selesa untuk orang tua saya. Saya juga berharap sangat agar dapat saya transfer kembali ke Labuan atau Kota Kinabalu dan seterusnya bertugas di negeri sendiri. Harapan saya juga agar Allah terus memberikan idea-idea yang bernas untuk saya meneruskan karya-karya saya di dalam dunia photography dan dunia blogging. Saya berharap saya akan terus kekal menjadi orang yang peramah, baik hati, pemaaf, pemurah dan sewaktu dengannya agar orang lain berasa senang dan selesa berkawan dengan saya.

Saya juga ingin memohon ampun dan maaf dari hujung rambut sehinggalah ke hujung kaki atas semua salah silap, kekasaran, ketamakan, keangkuhan, kesombongan, kemarahan, ketidaksopanan, dan segala yang tidak baik daripada diri saya. Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah swt dan yang buruk, yang gemuk dan yang tak molek semuanya datang daripada diri saya sendiri, insan hina yang menumpang di bumi Allah swt.

Oleh itu saya Mohd Asynor bin Junaidi memulakan Tahun Baru 2011 ini dengan doa kepada yang Maha Pengasihi dan Maha Penyayang. 

Doa ku..

"Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia."

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.
Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:
“Hampalah kami di sepanjang tahun ini”.


Amin Ya Robbal alamin..



p/s:
Selamat Datang 2011 | Selamat Tinggal 2010..
Akhirnya sampai juga hajat aku untuk post entri ini tepat pada jam 1.11am pada tarikh 01.01.2011 (Sabtu) pada tahun baru ini. Semoga tahun ini menjadi tahun yang penuh kebaikan dan kejayaan. Semoga segala impian yang kita harapkan tercapai dengan jayanya. Marilah kita bersama-sama menuju kejayaan.. Insha Allah..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...