K A W A N

Monday, December 27, 2010

Aku HALAL untuk Kamu

EB© | Resepsi Mohd Fitri dan pasangannya Siti Norjannah 
Assalammualaikum wbt,

Selamat pagi semua, semoga semua dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. Pagi yang indah hari ini, suhu di office tidak sesejuk selalu dan begitu menyamankan (kalaulah boleh tidur lagi..). Kalaulah di ketika ini adalah  hari cuti mesti dah sambung tidur jawapnya. Seperti biasa Isnin merupakan hari yang sangat memalaskan dan membosankan. 

Seperti gambar yang anda lihat diatas, ada dua orang pengantin baru sedang bersuap-suapan. Mereka berdua merupakan sahabat kepada kekanda saya Mohd Aminor sewaktu berada di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Ranau (SEMEKAR) dahulu. Kini sekolah itu (SEMEKAR) telah berpindah ke tapak baru dengan bangunan sekolah yang baru dan dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Mohammad Ali Ranau (SMKAMAR).

Entri saya bukan hendak bercerita mengenai sekolah tersebut tetapi adalah untuk mengucapkan selamat pengantin baru buat kedua mempelai Mohd Fitri Jamri dan pasangannya Siti Norjannah Atimin yang telah melangsungkan perkahwinan seterusnya menjadi yang halal buat diri masing-masing pada 4 Disember 2010 (rumah pengantin perempuan) di Kg. Sumalang, Ranau dan pada 18 Disember 2010 (rumah pengantin lelaki) di Kg. Kimolohing, Ranau. 



بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْكَمُاَ فِيْ خَيْرٍ

“Semoga Allah memberi berkah kepadamu dan atasmu serta mengumpulkan kamu berdua 
(pengantin laki-laki dan perempuan) dalam kebaikan.”HR. 
Penyusun-penyusun kitab Sunan, kecuali An-Nasai dan lihat Shahih At- Tirmidzi 1/316.




p/s: 
Selamat Pengantin Baru buat sahabatku Pitt, semoga ikatan yang halal lagi suci ini berkekalan sehingga ke akhir nanti. Mohon maaf kerna tidak dapat datang ke majlis kamu, mahal tiket boss. Gambar ini saya edit dalam versi hitam & putih khas untuk kamu. Harap kamu suka. Tidak lupa kepada abang saya Aminor atas gambar ini. Selamat pengantin baru Fitri dan Ana, maaf lambat update pasal perkahwinan kamu berdua.

Sunday, December 26, 2010

Gembirakan Mereka | Part 1

Assalammualaikum wbt..

Entri kali ini ada sebuah kenangan lapuk yang mana saya ingin kongsikan bersama anda semua sebelum kenangan ini tersemadi bersama saya di liang lahad kelak. Semasa dalam pengajian di Politeknik Kota Kinabalu (PKK), saya bergiat aktif (sangat aktif) dalam Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP). Saya merupakan ahli majlis tertinggi dalam organisasi tersebut semenjak saya dari semester dua sehinggalah ke semester akhir pengajian saya di PKK.

Sepanjang pengajian saya di PKK, saya telah banyak melaksanakan program-program sama ada di dalam kampus mahupun di luar kampus. Untuk entri kali ini, saya akan bercerita mengenai salah satu program yang kami jalankan di Kota Belud, Sabah. Program ini kami namakan sebagai "Program Lawatan ke Rumah Anak-Anak Yatim dan Berkeperluaan" yang bertempat di Darul Bakti, Kota Belud.

Tujuan program ini dibuat adalah untuk meraihkan anak-anak yatim yang serba kekurangan dari segi kasih sayang, pendidikan, dan bermacam-macam lagi. Kami ingin mereka tahu bahawa diluar sana masa ada pihak yang sayang dan perhatian kepada nasib mereka. 

Secara kasarnya bukan semua mereka ini adalah anak yatim piatu, ada juga diantara mereka yang masih mempunyai ibubapa. Tapi disebabkan kesempitan hidup dan kemiskinan, orang tua mereka tidak mampu untuk menyara dan apatah lagi membesarkan mereka. 

Oleh hal yang demikian, kami warga JPP dengan kerjasama beberapa orang pelajar PKK telah membuat lawatan selama sehari  untuk meraihkan serta meluangkan masa bersama-sama mereka. Seperti dalam kertas kerja yang telah diluluskan oleh Pengarah PKK, ada bermacam-macam aktiviti yang perlu kami jalankan bersama-sama anak-anak yatim ini. 

Seterusnya gambar-gambar dibawah ini akan bercerita kepada anda mengenai program yang telah kami jalankan itu. Semoga terhibur. 

EB© | Keindahan Gunung Kinabalu menemani perjalanan kami
EB© | Regangan dilakukan semasa aktiviti Senaman Huruf
EB© | Senaman Huruf
EB© | It gonna blown up, shut your ears
EB© | Adik ini kepenatan sampai tertidur
EB© | Hebat!! ~ Time to eat


p/s: Cerita dan gambar seterusnya bersambung ke "Gembirakan Mereka | Part 2"..
       Tunggu... ^^v

Saturday, December 25, 2010

Giant Screen in Putrajaya

Assalammualaikum wbt,

Bagi sesiapa yang tinggal di Putrajaya dan di kawasan sekitar Putrajaya, pihak Perbadanan Putrajaya akan menyediakan sebuah skrin gergasi yang akan dipasang di Dataran Putrajaya malam esok. Penyediaan skrin gergasi ini adalah untuk memberi peluang kepada warga Putrajaya dan kawasan berdekatan untuk bersama menunjukkan semangat dan sokongan kepada pasukan Malaysia yang akan menentang pasukan Indonesia pada perlawanan akhir pusingan pertama Piala Suzuki AFF.

Pemasangan skrin gergasi itu adalah pertama kali dibuat bagi memberikan sokongan kepada pasukan Malaysia selepas buat pertama kali mara ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF ini. Selain memberi ruang kepada peminat bola sepak yang tidak sempat 'turun' ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Anda semua bolehlah datang seawal yang mungkin untuk mendapatkan tempat atau kedudukan yang terbaik untuk melihat perlawanan ini. Kemungkinan besar juga pekerja-pekerja daripada Indonesia yang berkerja disekitar Putrajaya ini akan turun beramai-ramai untuk menyaksikan perlawanan ini. Jadi datang awal sebaik-baiknya untuk mendapatkan keselesaan semasa menyaksikan perlawanan tersebut. Tapi jangan lupa sembahyang Maghrib terlebih dahulu sebelum ke Dataran Putrajaya.

Tayangan perlawanan akhir ini dijangka bermula jam 8 malam seperti yang dijadualkan sebelum ini. Semoga kita dapat melihat peningkatan pasukan bola sepak negara kita, seterusnya dapat menumbangkan pasukan Indonesia.

Oh! sebelum terlupa pasukan Malaysia bakal bertandang bagi perlawanan timbal balik di Jakarta pada  29 Disember 2010 dan perlawanan itu juga bakal ditayangkan secara langsung di skrin gergasi tersebut pada masa dan tempat yang sama.

p/s: Datanglah beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada pasukan negara kita. Jangan lupa bawa tikar dan keropok..  Hehehe.. Glory glory Malaysia!

Friday, December 24, 2010

Muafakat Membawa Berkat

EB© | "Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat"

Program: Program Lawatan ke Rumah Anak-Anak Yatim dan Berkeperluan
Tempat: Darul Bakti, Kota Belud, Sabah
Tarikh: 2 May 2007
Photo taken by Canon Digital IXUS IS 800
Re-edit on 23 December 2010




p/s: Nantikan entri mengenai lawatan ke Darul Bakti, Rumah Anak-anak Yatim ini.

Segmen Jom Berkenalan


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalammualaikum,
Selamat hari Jumaat semua..

Pagi ini tengah nak siapkan entri 'PMRnya Lunyai' sambil minum nescafe yang pekat mekat ni. Setelah siap saya publishkan entri tersebut kemudian saya check Traffic Feed saya. Wah! ada seseorang telah meninggalkan jejak perjalanannya kemudian saya klik pada link tersebut, rupanya Cik Nadhirah aka CCD-ra telah tag saya dalam segmen 'Jom Berkenalan' ini. Terima kasih ya Cik Nadhirah, terima kasih banyak-banyak.

Seperti Cik Nadhirah, ini juga merupakan kali pertama saya ditag dalam sesebuah entri. Demi menghargai Cik Nadhirah atas kesudian dia untuk tag saya dalam entri ini maka saya akan lakukan sehabis baik ok.. Thanks a lot CCD-ra ^^v..

Segmen ni dari blogger yang bernama Cikgu Akim. Anda boleh melawat blog dia sekiranya anda hendak mengikuti segmen ini. Sila klik banner di bawah untuk mengetahui cara-cara nak ikut segmen ni.

Segmen Jom Berkenalan


Segmen Jom Berkenalan


S1: Apakah status anda:
J1: Saya belum bertunang atau berkahwin makanya saya berstatus B u j a n g..


S2: Ceritakan tentang diri anda:
J2: Ok nama penuh saya Mohd Asynor bin Junaidi, anda semua boleh panggil saya EB sepertimana nama blog saya EB. Dilahirkan pada 30 Oktober 1986 di Kg.Bangau, Kudat, Sabah. Mama saya berasal dari daerah Kudat, manakala Bapa saya pula berasal dari daerah Ranau. Saya kini menetap di W.P.Putrajaya dan berkerja di MOF. 
Pekerjaan: Kerja Gomen, biasa-biasa je. 
Belajar di: Sabah (SKPT-SMKPT-UiTM-PKK-UMS).
Bilangan anak: Saya belum berkahwin lagi, jadi tiada anak lagi. Anak tekak ada.
Cita-cita: Ingin membina/membeli sebuah rumah besar untuk kedua orang tua ku, membantu adik-adik serta keluarga ku dalam segala hal. Ingin memilik keluarga yang bahagia dan membahagiakan pasangan yang saya pilih. Bebas dari segala jenis HUTANG sebelum saya mati. Insha Allah ingin menunaikan Haji.


S3: Ceritakan tentang Blog anda:
J3: Blog saya ini saya wujudkan untuk berkongsi segala macam pengalaman yang saya pernah lalui secara sengaja mahupun tidak sengaja. Juga untuk berkongsi minat saya dalam bidang photography dan videography. Dimana Insha Allah disetiap entri yang saya paparkan akan saya selit sekeping dua gambar yang telah saya tangkap dan edit. 
Blog ini juga untuk saya berkongsi nasihat-nasihat serta info-info yang berguna kepada kita manusia yang sering lalai dalam urusan kehidupan kita sehari-hari sepertimana diri saya sendiri. Oleh itu suka diri ini untuk menasihat dan dinasihati sesungguhnya itu adalah amalan yang mulia. (Terima atau tidak nasihat tersebut terpulang pada yang membaca dan saya cuma menunaikan tanggungjawab saya sebagai manusia yang menyayangi sesama manusia untuk ingat mengingati..) 


S4: Apa pandangan anda tentang dunia blog?
J4: Dunia blog ini indah, bermacam-macam tips, bermacam-macam cerita, bermacam-macam info, bermacam-macam ragam, dan banyak lagi macam-macam yang ada. Bak kata Astro "Macam-macam Ada!" tapi bukan Astro sahaja yang macam-macam ada. Dunia blog ini walaupun banyak huruf yang perlu dibaca tapi sangat-sangat menyeronokkan. Tak percaya? Ikutilah dunia blog ini dan rasakan sendiri apa yang ada dalam dunia blog ini. 


S5: Nasihat anda kepada rakan-rakan yang baru nak buat blog:
J5: Pada yang baru nak berjinak-jinak nak buat blog ni, teruskan niat suci mu wahai sahabat. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan dalam dunia blogging melainkan kamu menyalahguna blog yang kamu cipta itu ke arah yang tidak baik. Nak buat blog tak perlu bayar pun, cuma kamu kena ada pengisian dan hala tuju blog kamu sendiri. Setiap benda perlu ada perancangan, kalau tiada perancangan maksudnya kita merancang untuk gagal. Kenapa? Apa? Bagaimana? Siapa? dan Dimana? kamu sendiri yang tentukan. Tiada paksaan dalam dunia blog ini. 


S6: Nyatakan keunikan yang terdapat pada blog anda:
J4: Keunikan.. Unik dalam blog saya ini adalah dimana saya akan mempaparkan gambar-gambar yang saya telah saya tangkap dengan moment yang menarik dan saya touch up dengan tona-tona warna yang menawan. Saya juga akan cuba bercerita banyak mengenai keindahan negeri Sabah Insha Allah.. 
Selain itu, saya juga akan menulis secara baku (InsyaAllah) dalam setiap entri saya dan saya tidak akan menggunakan singkatan demi menjaga keindahan bahasa Melayu itu sendiri walaupun saya bukan berbangsa Melayu tapi saya bertutur dalam bahasa Melayu. Jadi kalau kamu semua membaca blog saya dan terasa skema maafkan saya sebab itu memang niat saya. (Bukan selalu skemakan.. lagipun kerja saya sebagai sekretariat ini betul-betul membuatkan saya peka terhadap kesalahan ayat dan perkataan.. hmm..) dan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai blog saya, rajin-rajinlah datang jenguk. ^^v


S7: Sampai bilakah anda akan menulis blog dan impian anda dalam dunia blog?
J7: Selain nyawa terlekat ditubuh selagi itu saya akan terus bersuara dan selagi itu saya akan terus berilham dan berkarya. Saya tidak menginginkan apa-apa dalam dunia blog ini cukup sekadar ianya memberi saya peluang untuk berkongsi apa saja serta saya dapat memberi pengajaran dan panduan kepada anda semua. Selain memberi impak dan kesan yang baik kepada semua orang dan tidak lupa kepada diri saya sendiri. Cuma mengharapkan balasan pahala daripada yang Maha Esa dan sokongan daripada anda semua agar saya dan anda semua terus maju dalam hidup kita sehari-hari tanpa melupakan batas agama dan kebesaran Ilahi. Insha Allah. 
Impian saya agar saya berjaya memberi panduan serta rujukan yang terbaik dalam blog saya kepada anda semua. Semoga segalanya dipermudahkan Allah dan kita beroleh rahmat daripada semua ini. Saya bukan ahli agama tapi saya tetap ada agama.. Semoga kita semua berjaya di dunia dan di akhirat nanti.. Amin..


Saya tag mereka-mereka ini pula:-

1. Idayu
2. Iena
3. Nurwina
4. Farah Farhana


p/s: Sempat juga siapkan entri ni sebelum nak gerak pergi sembahyang Jumaat.. 
Ok enjoy reading you all and have a nice Friday.

PMRnya LUNYAI!

KOTA BHARU: Seorang pelajar tingkatan tiga tidak sempat menunjukkan kepada ayahnya keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang baru diambilnya di sekolah apabila dia mati dalam keadaan mengerikan, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Simpang Tiga Kok Lanas, Selising, Pasir Puteh, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, Siti Aisyah Zakaria, 15, yang membonceng motosikal ditunggang ibunya, Aziza Musa, 42, dirempuh lori pasir ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Banggol Chica, Kok Lanas, menyebabkan dua beranak itu terbunuh.

Akibat kejadian itu, Siti Aisyah terjatuh daripada motosikal sebelum dihempap kepala kanan lori berkenaan manakala ibunya tercampak atas jalan. Kedua-dua mereka mati di tempat kejadian.

Ayah Siti Aisyah, Zakaria Mohamad, 43, berkata, beberapa hari lalu dia memaklumkan kepada keluarganya untuk bercuti di Perdana Resort sambil mandi kolam pada Sabtu ini dan sudah pun membuat tempahan.

“Kami merancang bercuti di situ, tetapi kini semuanya tinggal kenangan apabila isteri dan anak yang menjadi harapan saya sudah pergi meninggalkan saya.

“Apa pun, saya reda dengan apa yang berlaku kerana sudah begini ketentuan takdir,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dekat sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu memang mengejutkan kerana isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan, manakala Siti Aisyah, anak kedua daripada enam beradik nampak rajin dan ceria.

Kata Zakaria, kejadian malang menimpa isteri dan anaknya itu diketahuinya selepas dihubungi peniaga di kawasan berkenaan selepas melihat kemalangan itu.

“Saya yang ketika itu berada di Kem Desa Pahlawan Kok Lanas kerana berurusan menghantar baju sukan bergegas menunggang motosikal yang jaraknya dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Ketika itu, saya lihat kepala Siti Aisyah berada dekat dengan tayar belakang lori berkenaan, manakala isteri terlentang di tepi jalan berkenaan,” katanya.

Zakaria berkata, mayat isteri dan anak dibawa dengan kenderaan polis ke HUSM Kubang Kerian untuk dibedah siasat.

Katanya, sebelum itu, isterinya yang juga pembantu kewangan di Kem Desa Pahlawan pulang menjemput anaknya bagi mengambil keputusan PMR di Sekolah Menengah Maahad Shamsul Maarif Perempuan, dekat Pulai Chondong, Machang.

“Saya hanya mengetahui keputusan PMR Siti Aisyah selepas dimaklumkan pihak sekolah dia memperoleh 4A 1B dan 1C,” katanya yang juga pesara tentera.

Menurutnya, jenazah isteri dan anaknya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tasik, Rantau Panjang, pada lewat malam atau pagi ini.

Hasil perkongsian hidup bersama arwah isterinya, Zakaria dikurniakan enam anak, masing-masing tiga lelaki dan perempuan berusia antara tujuh hingga 16 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian berlaku apabila lori yang dipandu lelaki berusia 40-an hilang kawalan dan akibatnya kenderaan berat itu terbalik.

“Siti Aisyah cedera teruk di kepala dan anggota badan manakala Aziza cedera parah di kepala.

“Dalam kemalangan sama, Proton Persona dan dua Proton Wira remuk di bahagian depan serta belakang, tetapi pemandunya tidak mengalami kecederaan dan kejadian disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


p/s: Innalillawainalillahhirojiun.. Al-Fatihah kepada arwah berdua, semoga roh mereka berdua ditempatkan dikalangan orang yang beriman.. Semoga keluarganya tenang serta tabah menghadapi dugaan Allah ini.. Hati-hati di jalan raya..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...