K A W A N

Friday, December 17, 2010

Khutbah Jumaat | Minggu ke-2

Salam,

Tajuk Khutbah Jumaat minggu ini:-



"Gelaja Rasuah : Satu Perbuatan Jenayah"

Amalan rasuah boleh membinasakan sesebuah negara mahupun sesebuah tamadun bangsa itu sendiri. Rasuah yang berleluasa boleh menghakis sistem keadilan dan nilai-nilai murni, menindas rakyat serta menggugat pemerintahan secara demokratik. Melahirkan keperibadian yang buruk lagi hina kerana rela mengadai maruah agama dan umat Islam demi mengejar wang ringgit, pekerjaan, jawatan, pangkat dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:

Maksudnya : "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya)".

Kesalahan rasuah tidak mengira golongan perasuah, kesalahan rasuah bukan terletak kepada kecil atau besar saiz atau amaun transaksi yang terlibat. Ingatlah kesalahan rasuah adalah terletak pada perbuatannya, samada seseorang itu pemberi, penerima atau menjadi orang tengah kepada perbuatan rasuah tersebut. Sabda Rasulullah SAW: 


Mafhumnya: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka”. (Riwayat at-Thobarani)

Persoalan besar timbul ialah mengapa amalan jenayah rasuah berlaku? Antara faktor utama menyebabkan berlaku rasuah ialah sikap bernafsu besar atau sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja. Seseorang yang didorong oleh perasaan tamak haloba dan mementingkan diri sendiri amat cekap dan berani melanggar batasan-batasan yang telah digariskan oleh Islam pada hal perbuatan itu hanyalah boleh menyusahkan diri sendiri dan mengakibatkan setiap punca atau pendapatan yang tidak halal. Ingatlah bahawa setiap darah daging kita daripada hasil yang haram, maka api neraka adalah tempatnya sebagaimana sabda Rasulullah SAW: 

Mafhumnya: “Setiap daging yang tumbuh hasil dari makanan yang haram itu maka api neraka adalah lebih utama untuknya”. (Riwayat al-Tarmizi)

Sama ada disedari atau tidak bahawa mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti pembahagian kekayaan dan harta tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar kemiskinan dan berleluasa kezaliman dalam masyarakat. 

Selain itu tertolaknya ibadah solat dan doa kerana mengguna sumber yang haram. Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan ini, ibadah dan doa kita menjadi sia-sia justeru menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah SWT. Jika kita tidak segera membenteras penyakit ini nescaya akan terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan. 

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 112: 

Maksudnya : "Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas".

Pengamal, penyalahguna dan mereka yang bersubahat dengan rasuah adalah musuh negara. Menerima sedikit rasuah mungkin di anggap ringan tetapi percayalah kesan buruk rasuah tidak bergantung kepada kecil atau besar jumlahnya. Jika rasuah dalam berbagai-bagai bentuk sudah menjadi tabiat, lambat laun bangsa akan lumpuh. Jika kita ingin menjadi bangsa yang mulia, bermaruah dan berjaya, elakkan diri daripada apa jua jenis rasuah, termasuk penyalahgunaan kuasa, sogokan wang dan sogokan sokongan. Rasuah adalah kotor dan jijik dan akan membawa kecelakaan kepada bangsa, agama, dan negara. 

Mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia yang hebat dan cemerlang kerana mereka inilah yang menjamin kesinambungan nasab atau keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman dan berintegriti dan dapat meningkatkan martabat dan maruah organisasi serta sentiasa berada dalam keredhaan Allah SWT.

2 comments:

Hananeechan said...

gelaja rasuah? :p

EB said...

Yupp rasuah da makin bleluasa skrg ni.. Haiss....
Seingat eb da bnyk kali pasal isu rasuah ni... Org kta smua nak kaya cpt.. Halal haram smua dketepikn..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...