K A W A N

Friday, December 31, 2010

Khutbah Jumaat | Minggu ke-4

Al-salāmu 'alaykum
"Selamat sejahtera ke atas kamu semua"

Khutbah minggu terakhir dalam bulan Disember dan juga khutbah terakhir pada tahun 2010 dengan tajuk:- 

“KESEDARAN BENCANA KESEJAHTERAAN BERSAMA”

Mutakhir ini beberapa negara di dunia digemparkan dengan kejadian bencana alam yang meragut ratusan ribu jiwa dan kerugian berbillion ringgit harta benda dalam masa sekelip mata. Kita masih ingat lagi, berapa ngerinya bencana Tsunami di bandar Aceh, Indonesia yang berlaku pada 26 Disember 2006 yang telah mengorbankan 200,000 jiwa dan menjadikan kawasan tersebut seperti padang jarak padang tekukur. Negara kita juga tidak terlepas daripada berdepan dengan kejadian-kejadian bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, jerebu, ribut, kemarau dan ombak besar Tsunami. Terbaru sekali, kejadian banjir besar di utara Semenanjung tanah air yang telah mengorbankan 6 nyawa yang kebanyakkannya adalah anak-anak kecil.

Dalam al-Quran Allah SWT telah menceritakan banyak tamadun manusia dimusnahkan oleh Allah melalui bencana alam. Antaranya kaum Nabi Nuh dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan gempa bumi dan kaum 'Aad dimusnahkan dengan ribut taufan tujuh hari tujuh malam. Jelasnya, bencana alam yang memusnahkan kaum-kaum tersebut adalah kerana hukuman Allah SWT atas kekufuran dan kemungkaran mereka.Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 40:

Maksudnya: “Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri."

Peringatan Allah SWT tersebut hendaknya menjadi pengajaran bagi kita bahawa akibat daripada kekufuran dan perbuatan maksiat yang dilakukan, akan menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah. Ketahuilah bahawa setiap bencana yang menimpa manusia mempunyai beberapa pengajaran yang berbeza. Bagi mereka yang terselamat daripada bencana, maka bencana yang menimpa orang lain merupakan peringatan bentuk kasih sayang dari Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya. Sedangkan bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa merupakan azab dan siksa dari Allah yang disebabkan oleh kekufuran dan kedurhakaan terhadap perintah Allah dan rasul-Nya. Dengan bencana juga, Allah hendak menunjukkan kepada manusia, mana antara orang yang benar keimanannya dan mana yang tidak.

Perlu difahami bahawa bencana alam juga boleh berlaku disebabkan daripada kesilapan dan kerakusan manusia kerana mengejar kemewahan dunia. Demi wang ringgit bukit-bukau ditarah dan diruntuhkan, pembangunan dilaksanakan sesuka hati, pembakaran terbuka berleluasa, pembalakan haram menjadi-jadi dan pembuangan sampah di mana-mana. Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta tergugat . Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum ayat 41:

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Ayat ini menyatakan bahawa bencana alam yang berlaku di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah kepada alam semesta. Tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan. Ini kerana, hubung kait antara manusia dengan alam begitu rapat sekali. 

Perlu disedari bahawa apabila bencana berlaku, masyarakat adalah merupakan kumpulan pertama yang akan berhadapan dengan musibah tersebut. Persoalannya, wujudkah kesedaran kita terhadap bahaya bencana yang berlaku ini?. Justeru itu, penerapan terhadap kesedaran bencana di kalangan masyarakat adalah amat penting bagi mengurangkan impak sesuatu bencana sama ada dalam bentuk kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda. Masyarakat perlu melibatkan diri secara aktif dalam pengurusan bencana sama ada sebelum, semasa dan selepas berlakunya bencana.

Besempena dengan kedatangan 2011 yang bakal membawa lembaran baru bagi setiap kita yang mana sedikit sebanyak ia akan memberi kesan dalam kehidupan seharian. Dalam meniti ambang tahun baru ini, seharusnya menjadi satu kesempatan ruang dan peluang untuk kita bermuhasabah dan seterusnya berusaha mencari jalan bagi memperbaiki serta meningkatkan lagi kualiti diri dari masa ke semasa dalam semua aspek kehidupan dengan membina azam dan semangat baru. 

Sepertimana yang diketahui umum, sambutan malam tahun baru ini lazimnya akan disambut dengan berbagai aktiviti. Orang ramai diajak berkumpul di tempat-tempat tertentu samada terbuka mahupun tertutup. Mereka di sajikan dengan hiburan dan pertunjukan yang pastinya banyak mengundang perkara yang negatif dan mencemarkan dengan pelbagai kegiatan maksiat dan tidak bermoral. 

Budaya yang sebegini bukanlah budaya Islam. Budaya sambutan sebegini adalah budaya yang dipropagandakan oleh musuh-musuh Islam melalui serangan ideologi agar umat Islam terpesong daripada peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Maka sempena dengan kedatangan tahun baru 2011 ini, marilah kita sama-sama membina azam dan semangat baru yang berlandaskan ajaran Islam dengan mengamalkan sepenuhnya, iaitu dengan mendekatkan diri kepada Allah, cinta kepada Rasul-Nya dan tidak melakukan perbuatan yang keji seperti rasuah, menganiayanya kaum yang lemah, memfitnah, memeras ugut, suka mengadu domba dan perbuatan-perbuatan keji yang lain. Dengan cara ini insyaallah kita dapat menjana bangsa yang bermaruah dan membangun ummah yang gemilang. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah ar-Ra’d ayat 2:

Maksudnya: "Allah jualah yang meninggikan langit tanpa tiang sebagaimana kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia menundukkan matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar untuk suatu masa yang ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaan-Nya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu untuk menerima balasan."



p/s: maaf semua sebab lambat update khutbah hari ini... Actually minggu ke-3 pun tak update lagi.. saya usahakan okay..

4 comments:

Anisa said...

selamat tahun baru!

Rafi Harumin said...

Terima kasih bro. Sangat bermanfaat.

EB said...

Anisa Hang Tuah:
Slmt slmt...
Happy New Year juga..

EB said...

Ashrafi:
Afwan bro...
Sya berkongsi spya info ni x mati bgtu shaja...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...