“SIKAP POSITIF PENENTU KEJAYAAN ”
(14 JANUARI 2011 / 9 SAFAR 1432H)
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Dalam menempuh kehidupan seharian yang penuh dengan cabaran, dugaan dan rintangan, kita sebagai umat Islam dituntut untuk sentiasa berfikiran positif dengan banyak bersabar, bersemangat waja dan tidak mudah berputus asa serta sentiasa menjauhi dari berperasangka buruk dan negatif sesama kita. Ini kerana segala dugaan tersebut merupakan fitrah atau lumrah di dalam kehidupan manusia. Ia juga merupakan ujian daripada Allah SWT untuk mengenal pasti siapakah di kalangan hamba-Nya yang terbaik dari segi amal ibadah mereka di dunia. Allah SWT telah menjelaskan kepada hamba-Nya kenapa manusia itu dituntut agar berfikiran positif dan menjauhi dari bersangka buruk sesama manusia sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Hujurat ayat 12 :
Maksudnya:
“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
Bersikap dan berfikiran positif adalah salah satu daripada sifat yang sewajarnya menghiasi diri seseorang umat Islam itu untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam hidupnya. Secara terperincinya, berfikir positif dapat didefinisikan sebagai satu pandangan atau sikap seseorang yang sentiasa memandang baik terhadap apa jua keadaan yang menimpa dirinya ataupun kepada orang lain. Berfikiran positif lebih dikenali sebagai Husnu al-Zhan yang membawa maksud berprsangka baik.
Agama Islam amat menganjurkan umatnya supaya bersifat dengan sikap berprasangka baik di dalam kehidupan berbanding dengan sikap berprasangka buruk yang jelas sekali begitu keji dan tercela. Seorang ulama terkenal Syeikh Abdul kadir al- Jailani pernah berpesan kepada kita dengan katanya:
Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu "Mungkin kedudukannya di sisi Allah SWT jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".
Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) "Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepada-Nya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku".
Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu) "Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."
Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu) "Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."
Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu):
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepada-Nya padahal aku mengetahui akibatnya. Aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."
Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu)
"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk".
Amatlah tepat dengan saranan Rasulullah SAW yang menyanjungi seorang mukmin yang berfikiran positif dalam segala aspek kehidupannya. Bahkan itulah sikap dan ciri-ciri mukmin sejati yang dituntut oleh agama kita sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
Bermaksud:
“Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan mukmin. Jika dia mendapat kebaikan, ia bersyukur, Jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya.” (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadith ini tergambar dengan jelas tentang ciri-ciri seorang mukmin yang sebenar. Bukan sahaja mereka ini sabar dan tabah menghadapi segala ancaman dan dugaan dalam kehidupan, bahkan mereka juga sudah lali dengan segala cabaran demi cabaran serta terus fokus dengan matlamat utamanya iaitu mencari keredhaan Allah SWT, kerana sesungguhnya hanya keredhaan Allah SWT sahajalah yang didambakan dan dihajati dalam hidupnya.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Perasaan syak ataupun menyangka buruk menjadi penghalang kepada hubungan antara perseorangan dengan berkesan kerana menyangka buruk sahaja sudah memadai untuk mencetuskan pelbagai masalah. Menyangka buruk kepada seseorang sering berkait rapat dengan perasaan hasad dengki atau cemburu. Dengan perasaan hasad dengki menyebabkan kita tidak merasa selesa dengan kejayaan orang lain, walaupun mereka itu jiran tetangga kita ataupun rakan sekerja kita sehingga menyebabkan timbulnya peselisihan dan fitnah yang akhirnya memecahbelahkan silaturrahim sesama umat Islam. Dengan berperasangka buruk mengakibatkan seseorang itu bertindak diluar batas kemanusian, tindakannya akan dipengaruhi oleh iblis dan hawa nafsu sehingga sanggup melakukan jenayah sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat kita pada ketika ini seperti bermasam muka, mencederakan orang, menyimbah asid dan sebagainya.
Walaupun sifat ini amat sukar dibuang namun ianya mestilah diletakkan dalam senarai utama yang perlu kita usaha untuk menghindarinya dengan sedaya upaya. Sekiranya ianya tidak dihindari maka satu hari nanti akan lemah dan hancurlah sesuatu bangsa dan umat tersebut. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa jika kita terlibat dengan menyangka buruk, maka kunci menanganinya adalah dengan cara kita kembalikan diri kita kepada Allah SWT dengan berbanyak beristighfar dan memohon taubat kepada-Nya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud:
“Setiap anak Adam itu ada kesilapan(dosa) dan orang yang berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat.” (Riwayat at-Tirmizi)
Seandainya setiap daripada diri kita menghayati dan mengamalkan hidup secara berfikiran positif dan terbuka serta menerima sesuatu itu dengan berlapang dada, insya Allah segala permasalahan di dalam hidup akan kita lalui dan hadapi dengan tenang dan mudah. Tiada lagi sifat berprasangka buruk sesama kita dan tiada lagi perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan. Dengan cara ini umat Islam akan terus menuju kepada matlamat untuk mencapai sebanyak mungkin kejayaan demi kejayaan.
Justeru, mimbar pada hari ini menyeru kepada sidang jumaat sekalian supaya marilah bersama-sama kita menanamkan azam yang tinggi untuk mengukuhkan jatidiri yang positif yang sememangnya wujud di dalam diri kita sebagai umat Islam. Marilah sama-sama kita berusaha untuk memajukan umat dan bangsa kita. Ingatlah kita adalah sebaik -baik umat yang diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia dengan syarat kita memiliki ciri-ciri yang disebutkan ini. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 110:
Bermaksud:
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.
6 comments:
salam...
singgah petang jumaat yg hening..
follow ur blog..****173
Waalaikumusalam..
Jemput2 singgah...
Nak bawa skali minum nescafe ni tp x dpt plak..
Yupp follow u back..
bGUS la bdak ni.
nak hancur da muka pun ttp positif and paling penting, masih sayang ayah diaa!!
Akhirnya. Confession| Untuk orang SINGLE|
PinQib...
Da bdk lg..
Biasalah.. Kita kena positif..hehehe..
salam :)
terima kasih berkongsi ilmu. :)
Waalaikumusalam..
Sama-sama kasih..
Suda mjadi kewajipan..
Lgpn para wanita x p solat jumaat so mesti x tau pasal khutbah jumaat kn..
Jd tgerak hati utk bkongsi..
Post a Comment