K A W A N

Wednesday, January 19, 2011

"Seperti api memakan ranting kayu kering"

Al-salāmu 'alaykum | "Selamat sejahtera ke atas kamu semua"

Salah satu sikap buruk yang ada pada manusia adalah mengumpat atau mengatakan perihal seseorang. Ada antara kita terutamanya golongan wanita cukup suka mengumpat (bukan bermaksud hanya wanita tapi fahami maksud saya, 'cenderung') Setiap hari ada sahaja perkara yang mahu diumpatkan dan paling kita suka apabila ia berkaitan dengan rumahtangga atau hal peribadi seseorang.

Kalau yang diumpatkan itu musuh kita maka semakin bersemangatlah kita mengumpat sehingga akhirnya tanpa kita menyedari kita tergolong dalam golongan yang melakukan fitnah. 

Rasulullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat seperti mana sabda baginda yang bermaksud: Mengumpat itu adalah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya. (riwayat Muslim)

Memandangkan bertapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak diampunkan Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu kekal dan menerima pembalasan di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripad berzina. Sesungguhnya orang yang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat." (riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibban)

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaibannya saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri." (riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering" Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. 

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah: "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberi kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat kelak.

Memandangkan bertapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.

Justeru tinggalkan amalan buruk berkenaan. Janganlah kita menlampaui batas apabila kita tidak menyukai seseorang sehingga kita sanggup memburuk-burukkannya di belakang. Ingatlah setiap apa yang dilakukan pasti ada pembalasan sama ada ia perbuatan baik atau sebaliknya.


p/s: Renung-renungkan.. Kita memang tidak pernah terlepas dari melakukan perkara yang kita anggap "ENTENG" ini..
"Aku bukan Ahli Agama tapi aku masih punya Agama.."

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...