K A W A N

Friday, March 18, 2011

Air Khazanah Allah Yang Tidak Ternilai

سم الله الرحمن الرحيم
bismi-llāhi r-raḥmāni r-raḥīm

Al-salāmu'alaykum WBT.

Antara khazanah alam yang tidak ternilai harganya ialah air. Air menjadi unsur penting yang diperlukan oleh manusia dan seluruh kehidupan ciptaan Allah SWT. Tanpa air, bumi akan tandus dan gersang serta tidak ada sesuatu pun yang boleh hidup. Kepentingan air ini menjadi lebih nyata di mana dalam al-Quran telah termaktub bahawa tiap-tiap makhluk yang hidup bergantung kepada air. 


Dengan air kita dapat melakukan ibadat kepada Allah SWT. Kita dapat membersihkan anggota-anggota badan yang sentiasa terdedah kepada pencemaran kerana tidak ditutupi pakaian dan juga boleh menghilangkan jangkitan kuman. Adalah lebih wajar bagi kita untuk membersihkan anggota badan sebelum bertemu dengan Allah SWT ketika bersolat. Air mempunyai peranan yang sangat berkesan bukan sahaja bagi menghindari kekotoran fizikal malah juga kekotoran rohani. 

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Ketika salah seorang daripada kamu bangun dari tidur maka hendaklah menghirup air ke hidung dan mengeluarkannya kembali sebanyak tiga kali. Sesungguhnya syaitan bermalam di batang hidungnya.” (Riwayat al-Bukhari) 

Mengikut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, negara kita dianggarkan mengalami purata hujan tahunan sebanyak 3000mm dan purata kuantiti hujan tahunan sebanyak 990 bilion meter padu. Dengan ini negara kita dikategorikan sebagai negara yang kaya dengan sumber air bagi memenuhi kehendak dan permintaan rakyat untuk aktiviti kehidupan harian. Kita juga tidak berhadapan dengan risiko cuaca yang teruk seperti kemarau yang berpanjangan sebagaimana di Afrika ataupun ribut taufan yang boleh mengorbankan nyawa. Walaubagaimanpun, akibat daripada proses globalisasi yang membawa kepada kemajuan negara telah menyebabkan masalah pencemaran alam sekitar yang kian berleluasa, sehingga merosakkan sistem yang membekalkan sumber air mentah kepada rakyat. 

Kesan daripada tabiat negatif manusia serta kemajuan sains dan teknologi yang kurang terkawal, telah menyumbang kepada perubahan ekosistem yang menyebabkan pelbagai bencana yang tidak dijangka berlaku seperti meningkatnya paras air laut, banjir besar, gempa bumi dan perubahan cuaca tidak menentu. Kebanyakan kawasan tadahan air pada masa ini seperti gunung-ganang, hutan rimba, sungai-sungai, telaga telah dicemari. Meskipun sumber air tidak pupus, tetapi apa yang membimbangkan ialah air yang dapat digunakan oleh manusia dengan selamat adalah semakin berkurangan. 

Pencemaran yang dilakukan oleh sikap sendiri secara tidak langsung telah mengundang perubahan iklim kepada negara kita. Justeru itu, ingatlah bahawa segala nikmat ini tidak mustahil untuk ditarik oleh Allah SWT dengan pelbagai cara jika manusia tidak menghargainya kerana jumlah air hujan yang banyak tidak menjamin sumber air mencukupi sepanjang masa. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 18:
Maksudnya: “Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan tertentu, serta Kami tempatkan akannya di bumi; dan sesungguhnya Kami berkuasa melenyapkannya.” 


Sempena Sambutan Hari Air Sedunia yang di adakan pada 22 Mac setiap tahun, marilah sama-sama kita menjaga khazanah alam ini dengan sebaik mungkin. Ingatlah bahawa kecukupan sumber air akan memberi kemakmuran dan kesenangan hidup kepada seluruh umat manusia. Air mempengaruhi fungsi hidup yang merangkumi kegiatan ekonomi seperti pertanian, penternakan, perikanan, pelancongan, kegunaan domestik dan perindustrian berjalan baik. 

Jika semua manusia kembali kepada matlamat kehidupan yang sebenar maka bumi yang kita diami ini akan kembali aman dan tenang serta tiada lagi kegelisahan, ketakutan dan kebimbangan. Marilah sama-sama kita mengurus sumber air dengan rasa bertanggungjawab, beramanah, jujur bagi mengelak berlakunya kesan buruk terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial negara. Ingatlah anugerah Allah SWT ini akan menjadi rahmat kepada kita dan dalam masa yang sama juga boleh menjadi bala bencana serta azab yang tersiksa. Dengan itu seharusnya kita semua mengambil manfaat dan menambahkan ketakwaan atas kebesaran kejadian Allah ini.

Sama-sama kita renungkan firman Allah SWT dalam surah ar-Rum ayat 41: 
Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” 



p/s: Ringkasan khutbah Jumaat hari ini..

2 comments:

Qib said...

sy suke minum air kosong.. hehehe..

EB said...

@PinQib
EB pun suka.. tp air kat umah eb ni eb x suka nak minumla.. Even lepas masak pn eb x brapa sure mau minum.. Sbb air tu bkarat.. Eb msti prepare mineral water kat umah.. Beli siap2..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...