سم الله الرحمن الرحيم
bismi-llāhi r-raḥmāni r-raḥīm
Assalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Kekuatan menjaga negara bukan hanya terletak kepada ramainya anggota keselamatan atau kecanggihan peralatan semata-mata. Yang lebih penting daripada itu ialah sifat keimanan, keiklasan, jati diri, semangat juang, kekuatan mental, jiwa dan rohani. Jika sifat ini dimiliki, maka insya Allah akan melahirkan anggota keselamatan yang berkualiti dan berdisplin serta bertanggungjawab.
Suasana keamanan yang kita nikmati pada hari ini sebahagian besar datangnya daripada usaha perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan terutamanya polis. Mereka menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Dalam usaha meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pasukan polis kepada rakyat beberapa langkah utama diambil diantaranya memperkukuhkan penerapan nilai-nilai Islam dan akhlak mulia dalam pasukan polis supaya sifat-sifat murni ini dapat menguatkan keimanan dan integriti semasa memberi perkhidmatan kepada rakyat jelata. Malah unit agama dalam pasukan Polis di Raja Malaysia sedang diperhebatkan.
Selain daripada itu Polis di Raja Malaysia amat berharap rakyat jelata dan masyarakat sekeliling hendaklah turut sama bertanggungjawab dan bekerjasama dalam memerangi kejadian jenayah. Berdasarkan pemerhatian terdapat kecenderungan rakyat terutamanya masyarakat di bandar-bandar bersifat lepas tangan dan menyerah bulat-bulat kepada polis menangani gejala jenayah. Keadaan ini amat merugikan kita sendiri dan menguntungkan penjenayah. Justeru itu, menjadi tanggungjawab kita bersama menjaga, menyelamat dan menghapuskan jenayah sebagaimana Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu melihat berlakunya kemungkaran, maka hendaklah diubah dengan tangannya (kuasanya) dan sekiranya ia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya, dan sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah diubah dengan hatinya (benci dengan hati), dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”( Riwayat Muslim)
Masyarakat yang bersatu padu saling tegur -menegur mampu menjamin keamanan dan keharmonian terutama daripada ancaman gejala sosial. Dengan cara muafakat, samaada melalui rukun tetangga, unit kawalan kampung atau melalui kempen-kempen kesedaran. Dalam masa yang sama kita dapat memainkan peranan melaporkan kepada pihak berwajib setiap kali menyedari berlakunya perkara-pekara yang ganjil dan mencurigakan dalam masyarakat. Kerana itu, membina ikatan yang kuat dan kerjasama sesama kita adalah syarat utama bagi menjamin keamanan dan keharmonian masyarakat. Kita tidak lagi hidup di dalam gua seperti di zaman purba, Kita hidup bermasyarakat, berkomuniti, berhubung antara satu sama lain , saling bergantungan ibarat pepatah “cubit paha kanan paha kiri terasa”.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
Berdasarkan kepada perkembangan semasa di era globalisasi dan ICT perlu kita sedari bahawa akhir-akhir ini pelbagai jenayah berlaku dalam negara kita. Pelbagai kes yang membabitkan kejadian jenayah, dadah, permasalahan sosial remaja dan seumpamanya masih berlaku. Kini negara kita berhadapan pula dengan beberapa isu yang menyentuh persoalan agama yang boleh membangkitkan serta mencetuskan ketegangan dan kecelaruan terhadap perpaduan serta menjejaskan keharmonian hidup. Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk menganggu-gugat keamanan negara dengan mengemukakan tuntutan-tuntutan yang melampau dan diluar batas susila.
Apa yang mendukacitakan ianya turut mendapat sokongan dan dokongan oleh mereka yang mengaku beragama Islam tetapi mempunyai agenda yang tersembunyi. Janganlah kita cuba bermain dengan api perpecahan dan menimbulkan rasa kebencian antara kita sehingga sanggup membelakangi undang-undang dan peraturan yang telah dipersetujui sejak negara kita mencapai kemerdekaan. Ingatlah nikmat keamanan ini akan hilang lenyap jika kita tidak sama-sama menjaganya.
Ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat negara Jepun atas musibah gempa bumi dan tsunami yang melanda baru-baru ini. Musibah ini merupakan satu peringatan dari Allah SWT agar kita sentiasa mentaati dan bersyukur di atas segala nikmat-Nya. Marilah sama-sama kita memohon kepada Allah SWT agar dijauhi dari segala musibah dan malapetaka, termasuklah ancaman radiasi daripada merebak kesan kebocoran logi nuklear akibat gempa bumi tersebut.
Bersempena sambutan Hari Ulang Tahun PDRM kali ke-204 pada tahun ini, marilah kita bersama-sama berusaha mempertingkatkan keimanan dan memperbanyakkan tawakal kepada Allah SWT serta berkhidmat dengan penuh amanah mengikut ajaran Islam. Insya-Allah, agama, bangsa dan negara akan terpelihara serta mendapat perlindungan Allah SWT. Marilah sama-sama kita memupuk semangat setiakawan, mengelakkan perkara yang boleh menimbulkan sesuatu yang bersifat perpecahan dan sentiasa bersedia menyelesaikan sebarang masalah dengan bijaksana dan penuh rasa mahabbah. Percayalah, kekuatan PDRM dan rakyat merupakan pemangkin kepada benteng keselamatan negara. Tanpa sokongan padu semua pihak, kesejahteraan dan kemakmuran negara tidak akan tercapai.
Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Anfaal ayat 45:
Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan satu pasukan maka teguhkanlah hatimu, dan ingatilah Allah banyak-banyak, supaya kamu berjaya.
2 comments:
Jepun d landa gempa bumi lagi!
ade kena mengena x dgn entry?ade kan?
@zati embong
Ada sbb eb ada cerita pasal Gempa..
Mmm kena gempa lg ek?
Adoi... Siannye mereka...
Tu la pasal kita harus bersyukur dengan nikmat yg diberikan Allah ni...
Post a Comment