K A W A N

Monday, March 14, 2011

Yeah! Cuti Sekolah!

p/s: Perhatian! Entri ini agak panjang...

سم الله الرحمن الرحيم

bismi-llāhi r-raḥmāni r-raḥīm

Al-salāmu'alaykum WBT.

Yeah! Cuti sekolah sudah pun bermula patutlah keadaan trafik di sekitar Putrajaya pagi ni tidak sesesak seperti kebiasaannya. Pasti ramai Cikgu-cikgu (Cik Awek pun dah cuti), ibubapa yang sudah merancang untuk melakukan aktiviti bersama. Ada juga ibubapa yang mengambil cuti rehat untuk dihabiskan bersama anak-anak mereka di sepanjang cuti sekolah ini. Ada yang membawa anak-anak untuk pergi melancong di dalam dan luar Negara. Ada yang balik ke kampung halaman untuk menjenguk orang tua mereka. Sekaligus mengambil kesempatan tersebut untuk mempertemukan anak-anak mereka kepada atuk dan nenek mereka. Itu adalah rutin kebanyakan ibubapa di negara ini bila tiba cuti sekolah.

Kalau pada zaman saya dulu setiap kali tiba musim cuti sekolah, kami memang tidak ada perancangan yang khusus. Selalunya kami akan main sepuas-puasnya dengan kawan-kawan sekampung dari pagi sehingga senja. Mandi sungai, berbasikal beramai-ramai mengeliling kampung, lastik burung dan cicak, lawan biji getah, masuk hutan dan bermacam-macam lagi. Ketika itu, keadaan agak terkawal dan selamat. Kami tidak terdedah kepada kejadian rogol kanak-kanak, penculikan, bunuh atau dera kanak-kanak.

Fikiran ibubapa kami juga sangat aman dan selesa melepaskan kami bermain. Kawasan permainan kami pula bukan setakat di halaman rumah tetapi meliputi seluruh kampung dan bukan setakat sejam dua tetapi dari awal pagi sehingga maghrib. Kadang-kadang kami cuma pulang untuk makan tengah hari saja. Begitulah selamatnya keadaan ketika itu. Begitu juga dengan keadaan lalu lintas yang tidak sibuk dan kami begitu selamat untuk kami melintas, berbasikal atau bermain bola di tepi jalanraya. (Tapi pernah juga bapa rotan sebab mandi di tasik yang dah terkenal dengan sejarah budak lemas.)

Namun itu lebih 20 tahun dulu. Keadaan bandaraya Kota Kinabalu jauh berubah. Kebanyakan warga kota bukan lagi di kalangan penduduk tempatan. Pendatang-pendatang dari negara lain seperti Indonesia, Pakistan, Filipina dan sebagainya sudah ramai di sini.

Tentunya mereka yang merantau ini mempunyai cabaran mereka sendiri untuk mencari wang di sini. Mereka mempunyai tanggungjawab untuk menghantar wang kepada keluarga mereka di kampung halaman. Kadang-kadang kehidupan senang yang mereka harapkan tidak menjadi kenyataan malah dihimpit pula dengan masalah yang lain.

Atas desakan kehidupan di negara orang, pendatang ini seperti terpanggil untuk menyelesaikan masalah mereka dengan cara yang melanggar undang-undang negara kita. Mencuri, menyamun, merogol, membunuh dan culik seperti jalan pendek untuk mereka.

Kini kanak-kanak kita makin tertekan kerana pelbagai pesanan diberikan kepada mereka sehingga merasakan seolah kawasan tempat tinggal mereka seperti tidak selamat lagi. Mereka dipesan agar tidak bercakap dengan orang yang tidak dikenali kerana kemungkinan orang itu adalah penculik kanak-kanak.

Takut juga jika berlaku kejadian rogol dan bunuh kanak-kanak. Maka kanak-kanak kini lebih digalakkan tinggal di dalam rumah sepanjang waktu. Mungkin itu lebih selamat buat mereka. Jadi, seronokkah bercuti panjang bagi kanak-kanak sekarang ini? Mereka lebih terperap di rumah dengan bermain playstation.

Bila ini berlaku, keseronokan menjadi kanak-kanak di negara ini seperti sudah diragut. Keselamatan mereka masih lagi tidak terjamin walaupun bermain di padang permainan di kawasan perumahan tempat tinggal mereka. Apatah lagi jika mereka berjalan sendirian.

Lagi satu yang menjadi perhatian penjahat ini adalah apabila ada kanak-kanak negara kita sudah mempunyai telefon bimbit pada usia semuda itu. Telefon bimbit itu pula kekadang adalah dari jenama yang mahal. Adalah amat menyedihkan bila kanak-kanak itu menjadi mangsa keganasan penjahat semata-mata untuk merompak telefon bimbit yang mereka miliki itu.

Begitu juga dengan pemakaian rantai dan barang kemas yang lain. Ini mungkin menjadi sebab sehingga kanak-kanak ini ada yang tergamak mereka bunuh. Bolehkah kita kembalikan semula keadaan selamat seperti dulu kepada kanak-kanak negara kita?

Ada juga yang menyarankan agar kanak-kanak ini menyertai kem-kem bina semangat sempena cuti sekolah. Kem sebegini sememangnya popular di kalangan pelajar-pelajar ketika cuti panjang.

Memang sesuatu yang menyeronokkan tetapi ‘percutian’ mereka ini masih lagi di dalam lingkungan sekolah, disiplin dan berperaturan. Kebebasan melakukan apa yang mereka gemar masih terbatas tetapi sekurang-kurangnya ibubapa tidak pening kepala. Ibubapa melepaskan tanggungjawab menjaga anak mereka itu kepada pihak penganjur.

Namun dalam pada memberikan kebenaran, ada juga kita terdengar kelalaian yang berlaku di kem mereka berkumpul. Ada kejadian gengsterism yang berlaku secara senyap. Anak-anak yang kita lepaskan pulang dengan luka dan lebam di badan. Takut jika berlaku yang lebih trajis, apabila yang kembali ke rumah adalah sekujur tubuh yang kaku. Alahai tak tenteram juga hati ibubapa!

Hati jadi lebih berat untuk membenarkan anak-anak ini menyertai kem ini apabila ada pula sesekali cerita musibah yang berlaku di kem yang disertai kanak-kanak itu. Berita seperti jambatan runtuh dan kanak-kanak hanyut sungguh menyedihkan dan inilah juga yang menjadikan hati ibubapa lebih tidak tenteram.

Memanglah kita boleh cakap yang kemalangan itu tidak berbau dan jika ditakdirkan berlaku kita tidak dapat mengelaknya tetapi alasan ini jugalah yang akan disesali oleh ibubapa kerana membenarkan anak-anak mereka menyertai kem bina semangat ini. Rasa bersalah ini akan terus menghantui.

Ada ketika pula anak-anak ni dibawa untuk menyertai rombongan untuk melawat tempat-tempat menarik dengan menaiki bas. Ada pelajar dari Tawau mengikuti rombongan lawatan ke Kota Kinabalu. Ada juga pelajar dari Kota Kinabalu yang bersama dengan rombongan ke Sandakan. Oleh kerana anak ingin sangat bersama rakan-rakan mereka dalam rombongan itu, hati kedua-dua ibubapa tidak sampai hati untuk menolak permintaan mereka.

Kerelaan ibubapa melepaskan anak mereka menyertai rombongan ini mungkin juga kerana ada guru atau wakil sekolah yang berjanji menjaga mereka. Namun hati mereka tidak akan tenang walaupun dijanji ada pihak yang boleh menjaga mereka kerana berita kejadian kemalangan yang membabitkan persiaran semakin meningkat.

Hati ibubapa sekali lagi begitu berat untuk memberi kebenaran kerana kini nasib dan nyawa anak-anak mereka terletak pada etika pemanduan pemandu bas rombongan itu. Rupanya bukanlah sesuatu yang menyenangkan hati ibubapa bila tiba musim cuti sekolah ini. Malah kerisauan mereka makin bertambah.

Sudahnya, anak-anak juga yang menjadi mangsa dan terpaksa memerap di rumah kesan daripada kebimbangan ibubapa. Jika beginilah yang berlaku, maka anak-anak kita tidak akan dapat belajar membesar seperti cara kita dulu. Kematangan kita adalah hasil daripada pendedahan kita kepada persekitaran. Namun apalah kematangan yang boleh dikutip dari persekitaran di dalam rumah.

Keadaan sekarang terbuka kepada pelbagai jenis pengaruh dadah juga amat membimbangkan setiap kali cuti sekolah menjelma. Ibubapa yang bekerja lebih lapan jam tiada di rumah, mungkin adalah masa terbaik untuk anak-anak terbabit dengan gejala menghisap rokok, dadah, pil khayal dan merempit.

Kalaulah aku ada upaya dan kekayaan seperti Michael Jackson untuk membuka sebuah taman yang besar yang boleh didatangi adik-adik pada musim cuti sekolah dan bebas dari segala bahaya kan bagus. Pasti ringan kepala ibubapa dan senang hati mereka pada setiap di musim cuti sekolah!


p/s: Jom buat taman tema..
Gambar adalah ehsan daripada Google..

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...