K A W A N

Friday, April 1, 2011

"Berfikir Qurani"

سم الله الرحمن الرحيم
bismi-llāhi r-raḥmāni r-raḥīm

Al-salāmu'alaykum WBT.

Petikan Khutbah Jumaat (27 Rabiul Akhir 1432 H)


Berfikir Qurani bermaksud bagaimana sumber-sumber al-Quran dijadikan pedoman berfikir tentang sesuatu kejadian dan kehidupan. Dengan berfikir menerusi jendela al-Quran menjadikan seseorang itu memiliki jiwa tadabbur iaitu jiwa mengkaji dan menyelidik. Ayat-ayat Allah adalah sesuatu yang bersifat semasa dan sesuai dalam semua kehidupan. Kisah-kisah yang dirakamkan oleh al-Quran ribuan tahun lalu bukan hanya merakamkan apa yang pernah berlaku pada masa yang lalu tetapi berulang kembali pada masa kini dan boleh terjadi semula pada masa depan. 

Umat Islam yang mencari pedoman untuk hidup, maju dan berubah tentu memerlukan pedoman tentang gelagat manusia pada masa yang lalu dan menjadi pedoman untuk kehidupan masa kini. Al-Quran bukan saja menggesa umatnya supaya menggunakan kekuatan akal dalam melakukan penelitian dan penyelidikan terhadap alam dunia ini, malah mengajak umatnya menginsafi berasaskan peristiwa-peristiwa yang terjadi dan merenung mengenai hakikat kejadian dan hubungan dengan diri manusia. 

Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dijadikan asas pemikiran dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan beku fikirannya untuk mendalami al-Quran. Mereka lebih gemar menurut hawa nafsu dengan melakukan perkara-perkara yang melalaikan dan merosakkan imej dan martabat umat Islam itu sendiri. 

Rasulullah SAW pernah melahirkan kebimbangan bahawa umat Islam ramai tetapi berkeadaan seperti buih di lautan, kerana lemah dan tidak berdaya saing. Seorang tokoh Islam Malik bin Nabi pernah berkata: “Kemunduran yang dideritai oleh umat Islam hari ini bukan sebab Islam seperti yang di wawarkan itu, ini adalah satu hukuman dari Islam ke atas umatnya yang cuba meninggalkan Islam, bukan kerana mereka berpegang dengan Islam.” 

Justeru, marilah sama-sama kita menjadikan budaya Qurani sebagai gaya hidup. Selain itu kita mesti yakin bahawa al-Quran mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Ubahlah gaya kehidupan dengan menjadikan al-Quran sebagai asas pemikiran dan rujukan kehidupan. Janganlah kita hanya merujuk kepada al-Quran pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu sahaja.

p/s: Majlis Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Kuantan, Pahang bermula dari 4hb hingga 8hb April 2011.

Firman Allah SWT dalm surah al-Qamar ayat 17:
Maksudnya : “Dan sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur'an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan?.”

Sumber : JAKIM

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...